Monday, November 29, 2010

Buat Jundi Kecil Abi dan Ummi...

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarokatuh, Jundi Kecil Abi dan Ummi.

Untuk yang pertama ini, Ummi nukilkan mendahului Abimu. Ummi tak tahu bila Jundi Kecil Ummi akan mula membaca blog ni. Tapi Ummi tetap berharap, anak Ummi akan membacanya suatu hari nanti.

Jundi Kecil Abi Ummi sayang,

Ini kandungan Ummi yang kedua. Saat Ummi menulis entry ini, usiamu dalam rahim Ummi baru 11 minggu. Walaupun sudah bernadi, tapi Ummi masih belum mampu merasai denyut nadimu sayang. Tapi Ummi tahu, anak Ummi ada di sana, sedang membesar dengan pesat. Ummi bersyukur kandungan Ummi kali ni sudah mencapai usia sekarang kerana kandungan Ummi sebelummu gugur sebelum usianya cukup sebulan. Ummi ceritakan kegembiraan Ummi pada orang-orang di sekeliling Ummi walaupun mereka bosan mendengarnya. Ummi terlalu gembira dapat mengandungkan anak Abi. Sesungguhnya, mereka yang tidak pernah mengandung atau hamil, pasti tidak akan mengerti lonjak gembiranya hati Ummi. Sementelah lagi, kandungan yang sebelum ini gagal.

Sayang,
Ummi hari ini sedikit sedih sebab terpaksa susahkan Wan Badri dan Tok Dah, Mama dan Abah kepada Abi. Ummi minta tolong pada mereka untuk urusan permohonan kerja Ummi. Ummi bimbang Abi tak dapat pulang ke rumah awal kerana menguruskan pembelian kereta ALZA petang nanti setelah habis kerja.

Sayang,
Ummi berharap Jundi Kecil Ummi dan Abi faham bahawa hidup kita tidak sesenang orang lain. Tapi Abi dan Ummi akan berusaha untuk memberi makan dan pakai yang cukup buatmu. Ummi nak kerja. Ummi nak bantu Abi dalam ekonomi Baitul Muslim kita, ekonomi keluarga kita. Walaupun Abi berstatus engineer, tapi pendapatan Abi tidak setinggi engineer di kilang-kilang lain. Kerja Abi pula berisiko diberhentikan secara tiba-tiba seandainya kilang yang Abi bekerja tu terpaksa gulung tikar.

Jundi Kecil Abi dan Ummi sayang,
Semoga dirimu membesar menjadi seorang jundi Islam. Semoga kesusahan Abi dan Ummi mengajar dirimu menjadi insan yang kuat dan tegar menghadapi musuh Islam. Ummi yakin, kehidupan di zamanmu kelak lebih mencabar daripada kehidupan di era Abi dan Ummi.

Sekian dulu untuk catatan pertama Ummi.

Wassalam...